Ketika Pameran Awam Pertama

Share on Google+0Email this to someoneShare on Facebook0Tweet about this on Twitter0Share on LinkedIn0Print this pageShare on Reddit0Share on TumblrShare on StumbleUpon0Pin on Pinterest0Digg thisBuffer this pageFlattr the author

SOALAN LAZIM TENTANG PAMERAN AWAN PERTAMA JANGKA MASA SEBULAN

  1. Bilakah tempoh bantahan sebulan akan bermula?
    Selepas SPR menerbitkan notis tentang kesan cadangan mereka dan tempat-tempat di mana peta-peta akan dipamerkan, maka bermulalah tempoh sebulan untuk orang awam mengkaji dan membantah cadangan tersebut. Notis itu akan diterbitkan dalam sekurang-kurangnya satu suratkhabar utama. Untuk persempadanan terdekat sebelum ini, notis diterbitkan dalam suratkhabar New Straits Times pada 8 Ogos 2002 bagi persempadanan semula Semenanjung Malaysia dan Sabah.
  2. Adakah peta-peta tersebut dapat dimuat turun atau dipaparkan dalam talian?
    Dari segi teknikal mahupun undang-undang, tiada alasan peta-peta ini tidak boleh dimuat naik dalam laman sesawang untuk kemudahan semua, tetapi peta-peta tidak dapat diperoleh secara dalam talian bagi proses persempadanan sebelum ini. Bagi proses persempadanan semula yang akan datang, tiada tanda bahawa peta-peta ini akan dipaparkan dalam talian.
  3. Adakah peta cadangan SPR dapat dibeli dalam “hard copy”?
    Kami sudah dimaklumkan bahawa peta-peta tersebut tidak akan dijual tetapi hanya untuk pemaparan umum.
  4. Adakah peta-peta mengikut negeri akan ditunjukkan di satu lokasi yang tertentu sahaja?
    Berdasarkan pemaparan terakhir pada tahun 2002, kebanyakan peta dipaparkan di beberapa lokasi dalam kawasan pilihan raya yang berkenaan. Hanya sedikit sahaja lokasi di mana beberapa peta kawasan pilihan raya yang berlainan dipaparkan bersama.
  5. Adakah DART akan memuat naikkan peta cadangan di laman sesawangnya untuk dimuat turun orang awam?
    Jangka masa yang pendek, iaitu satu bulan, tidak membolehkan pendigitalan peta cadangan untuk dimuat naikkan dalam talian. Namun, kami akan bekerjasama dengan Tindak Malaysia untuk mendapatkan gambar-gambar peta yang akan dipaparkan di seluruh Malaysia dan menyediakannya untuk dimuat turun atau dipaparkan dalam talian.
  6. Adakah peta-peta tersebut menunjukkan jalan, nama taman atau kampung atau tanda jalan supaya lokasi benda-benda ini dapat dikenalpasti secara mudah?
    Tidak. Malangnya peta-peta cadangan ini hanya akan kelihatan seperti peta kawasan pilihan raya SPR yang sukar dibaca dan difahami oleh orang awam dari segi lokasi sempadan berbanding dengan infrastruktur penempatan dan bentuk mukabumi.
  7. Bagaimanakah saya dapat meneliti peta cadangan SPR bagi kawasan pilihan raya saya sekiranya mereka tidak mudah dibaca?
    DART telah mendigitalkan sempadan kerusi Parlimen, Dewan Undangan Negeri, Daerah Mengundi dan juga sempadan Pihak Berkuasa Tempatan yang telah digunakan dalam PRU13, iaitu 4 jenis sempadan. Sempadan-sempadan ini dapat dilihat dalam Google Earth di mana anda boleh memperbesarkan gambar satelit kawasan pilihan raya anda sehingga jalan, bumbung rumah, sungai dan sebagainya dapat dilihat. Kami mensyorkan supaya anda menghubungi kami dari DART untuk medapatkan salinan fail-fail bagi negeri anda dan membiasakan diri dengan sempadan kawasan pilihan raya anda.Anda juga boleh mengambil gambar yang telah dipaparkan di kawasan pilihan raya anda dengan telefon pintar (dengan resolusi yang tinggi) dan memasukkannya sebagai “image overlay” dalam Google Earth, melaraskannya sehingga ia disesuaikan dengan sempadan semula jadi dan tanda jalan yang sedia ada. DART juga akan mengeluarkan sebuah video yang asas untuk menunjukkan kepada anda tentang cara ia dapat dilakukan. Selepas itu, anda boleh membandingkan sempadan baharu dengan sempadan yang sedia ada, lalu menggunakan senarai semak yang telah disediakan untuk mencari sebarang sebab untuk membantah.
  8. Siapakah yang berhak untuk mencabar sempadan yang telah dicadangkan?
    Mana-mana kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau sekumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 100 pengundi dalam satu kawsan pilihan raya yang terkesan dan terkandung dalam daftar pengundi. Perlembagaan Persekutuan/Jadual 13/Bahagian 2/ 5(a)(b)
  9. Bagaimanakan saya dapat mengumpulkan 100 pengundi dari kawasan pilihan raya saya jika saya ingin mengemukakan bantahan?
    BERSIH 2.0 dan DART sedang menjalankan kempen “Bersama menjadi 100” di seluruh Malaysia (kemungkingan beberapa pengundi dari kawasan pilihan raya anda sudah pun memberitahu kami bahawa mereka bersedia menjadi kumpulan 100 orang ini). Cara yang paling mudah adalah: muat turunkan Surat Bantahan (Individu) atau Borang Bantahan (Golongan 100) di laman web ini; lengkapkan maklumat anda; buat satu salinan kad pengenalan anda dan poskan kesemua ini kepada Sekretariat BERSIH 2.0 di: No. 13, Lorong 4/48E, 46050 Petaling Jaya, Selangor.
  10. Bolehkah saya menyumbang lebih daripada hanya meletakkan tandatangan sebagai seorang daripada 100 lebih orang yang mengemukakan bantahan?
    Jika anda cekap dengan penggunaan software seperti Google Earth dan Excel, anda boleh menjadi sebahagian daripada pasukan utama DART bagi negeri atau kawasan pilihan raya anda. Hubungi kami pada [email protected] dan nyatakan bahawa anda ingin menjadi sebahagian daripada pasukan utama DART.
  11. Bagaimanakah kita harus menyediakan surat bantahan?
    Selepas anda telah meneliti peta cadangan SPR dan mengenalpasti asas bantahan dengan menggunakan senarai semak yang telah disediakan, anda boleh menggunakan Templet Alasan Perundangan kita untuk menyediakan surat bantahan anda sendiri. Pastikan tiga orang pembantah dinamakan sebagai wakil untuk bertemu dengan pegawai SPR semasa pendengaran diadakan.Anda boleh juga bekerjasama dengan pasukan utama DART di negeri atau kawasan pilihan raya anda dalam persediaan surat bantahan dan beri maklumat tentang penggarisan kawasan pilihan raya anda mengikut pandangan anda. Kami mencadangkan supaya anda mengambil pendekatan ini untuk membuat bantahan yang berkesan.
  12. Bolehkah bantahan dibuat oleh lebih daripada satu kumpulan?
    Tentunya boleh. Kami menjangka bahawa akan terdapat lebih daripada satu kumpulan yang akan mengemukakan bantahan kepada SPR. Berdasarkan sejarah kita, parti-parti politik dari kedua-dua pihak akan mengemukakan bantahan mereka. Terdapat juga kumpulan yang terdiri daripada rakyat yang prihatin.
  13. Adakah SPR akan keliru sekiranya terdapat terlalu banyak bantahan, terutamanya yang bertentangan, dari kawasan pilihan raya yang sama?
    Tidak. Tanggungjawab SPR adalah untuk mendengar bantahan dan menilai merit setiap bantahan berdasarkan prinsip yang tertakluk dalam Jadual 13, Bahagian 1, Seksyen 2 dalam Perlembagaan Persekutuan. Bantahan-bantahan yang paling berpeluang baik untuk dipertimbangkan adalah yang berasaskan prinsip-prinsip tersebut dan disokong oleh pengetahuan tempatan. Pandangan bahawa hanya satu kumpulan sahaja yang boleh mengemukakan bantahan semacam berkata bahawa hanya seorang peserta sahaja yang dibenarkan dalam pertandingan menyanyi.
  14. Adakah sebuah pendengaran akan diadakan bagi setiap bantahan yang dikemukakan?
    Hanya bagi bantahan yang memenuhi syarat yang tertakluk dalam Jadual 13.
  15. Apakah bantahan yang memenuhi syarat tersebut?
    (a) Bantahan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau sekumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 100 pengundi yang terkesan oleh persempadanan semula dari sesebuah kawasan pilihan raya,
    (b) Bantahan yang berdasarkan prinsip dalam Seksyen 2 dalam Jadual 13
    (c) Bantahan yang diserahkan kepada pejabat SPR dalam jangka masa satu bulan
  16. Apakah yang akan dianggap sebagai tidak memenuhi syarat dan akan ditolak?
    (a) Bantahan yang dikemukakan oleh orang yang tidak mempunyai locus standi (hak untuk membantah).
    (b) Bantahan yang berdasarkan undang-undang dan piawaian yang bukan digubal di Malaysia; ini termasuk amalan terbaik yang ditetapkan di tahap antarabangsa.
    (c) Cadangan pemetaan alternatif tanpa bantahan.
    (d) Pembantahan selepas jangka masa satu bulan.
  17. Selepas pengemukaan bantahan, apakah yang akan berlaku?
    Jika bantahan kita memenuhi syarat, SPR akan mengumumkan tarikh perjumpaan dengan pegawai mereka, yakni sebuah “pendengaran”. Ia akan diadakan pada bila-bila masa selepas penyerahan kita; mungkin setelah sebulan.
  18. Siapakah yang dibenarkan/tidak benarkan untuk menghadiri pendengaran tersebut?
    Hanya 3 pengundi yang terkesan dan mewakili pengundi-pengundi yang terkesan dari kawasan pilihan raya tersebut dibenarkan untuk menghadiri pendengaran. Peguam tidak dibenarkan untuk mewakili pengundi yang terkesan kecuali jika dia seorang pengundi yang terkesan di situ.
  19. Apakah yang akan berlaku dalam pendengaran tersebut?
    Anda harus merujuk kepada surat bantahan anda dan menerangkan sebab bantahan anda terhadap cadangan SPR. Jika anda telah menyediakan peta alternatif melalui Google Earth, mengunjurkan atau mencetakkannya, sila tunjukkannya kepada SPR. Kemukakan sebarang dokumentasi atau gambar yang boleh menyokong bantahan anda. Pastikan anda memberi SPR satu salinan bagi segala keterangan yang dibentangkan kepada panel. Anda diberi 30 minit untuk membentangkan kes anda dan hanya Bahasa Melayu boleh digunakan.
  20. Apakah yang akan berlaku selepas pendengaran tersebut?
    Jika anda telah menyakinkan panel SPR tentang merit bantahan anda, mereka akan menerima cadangan anda dan memaparkan segala semakan yang dibuat bagi seluruh negara dalam Pemaparan Awam Kedua. Dan sekali lagi, bantahan dan pendengaran akan dibenarkan untuk sebulan dan, jika diperlukan, semakan semula kali kedua akan dibuat. Selepas itu, cadangan tersebut akan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Perdana Menteri untuk menyediakan “draft order” untuk diluluskan dalam Parlimen.
  21. Adakah kita akan diberi peluang untuk mengemukakan bantahan dalam Pemaparan Awam Kedua sekiranya kita tidak mengemukakan bantahan dalam Pemaparan Awam Pertama?
    Tidak. Jika tiada sesiapa mengeluarkan bantahan dalam Pemaparan Pertama, cadangan SPR akan dianggap diterima dan tidak akan dipaparkan buat kali kedua. Tetapi jika terdapat sebarang bantahan dan anda masih tidak dapat menerima semakan semula yang telah dibuat dalam Pemaparan Kedua, anda masih boleh mengumpulkan sekurang-kurangnya 100 pengundi yang terlibat dan mengemukakan bantahan sekali lagi.

 


FAQ lain…

Share on Google+0Email this to someoneShare on Facebook0Tweet about this on Twitter0Share on LinkedIn0Print this pageShare on Reddit0Share on TumblrShare on StumbleUpon0Pin on Pinterest0Digg thisBuffer this pageFlattr the author

Leave a Reply

Your email address will not be published.